30 July 2010

Haram haji guna visa umrah

JEDDAH: Menggunakan visa umrah untuk mengerjakan ibadah haji adalah haram, kata ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Abdul Mohsen Al-Obaikan.
“Adalah haram bagi sesiapa yang tiba di negara ini dengan visa umrah untuk tinggal melebihi had yang dibenarkan sehingga musim haji untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu,” kata Mohsen kepada akhbar Asharq Al-Awsat.

Beliau yang juga Penasihat Diraja juga berkata, umrah seseorang yang datang ke negara itu untuk melakukan umrah adalah sah tetapi ia akan menjadi haram sekiranya dia tinggal melebihi had yang dibenarkan untuk mengerjakan haji.

“Menurut syariah, tindakan tidak menghormati undang-undang dan peraturan sesebuah negara adalah haram. “Peraturan itu dibuat untuk kebajikan masyarakat Islam dari dalam dan juga luar Arab Saudi,” katanya.

Menurutnya, mereka yang melawat negara itu mesti menggunakan visa untuk tujuan ia dikeluarkan. “Jika mereka diberikan visa untuk melakukan umrah, mereka perlu melakukan ibadah itu dan pulang ke tanah air. Adalah haram jika mereka tunggu untuk melakukan haji,” katanya. - Agensi

21 July 2010

Lelaki curi wang Masjid Nabawi ditahan

MADINAH: Seorang pekerja yang mencuri wang tunai SR90,000 (RM77,089) dari Masjid Nabawi minggu lalu berhasrat memulangkan wang berkenaan, semalam selepas didorong rasa bersalah.
 
Akhbar berbahasa Arab Al-Watan melaporkan, lelaki yang mencuri wang daripada peti simpanan di pejabat ketua unit pendidikan di masjid berkenaan muncul bagi memulangkan wang itu. Lelaki terbabit memberitahu dia memulangkan semula wang itu bagi pihak pencuri yang mengambilnya dan meminta pihak masjid tidak melaporkannya kepada polis. Bagaimanapun, ketua unit pendidikan masjid melaporkan kepada pihak berkuasa dan lelaki itu kemudiannya ditahan. Selepas sesi soal siasat, lelaki itu mengaku dia yang mencuri wang berkenaan. - Agensi

Ditinggal isteri angkara SMS

HAIL (Arab Saudi): Seorang lelaki Saudi, Fadae Attiq Al-Shamari ditinggalkan isteri gara-gara menerima mesej pesanan ringkas (SMS) berbentuk amaran kononnya dia mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Kejadian berlaku apabila Fadae menerima SMS daripada syarikat telekomunikasi yang
berbunyi: “Pelanggan dihormati, antara prinsip utama dalam Islam ialah menjaga maruah. Kami ingin memaklumkan bersembang dengan wanita bukan mahram dilarang dalam Islam. Kami memberi amaran sekiranya anda melakukan larangan ini kami akan menamatkan perkhidmatan telefon anda. Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap anda.

Fadae yang menyangka SMS itu satu gurauan tertawa lalu menunjukkan kepada isterinya. Dia tidak menyangka tindakannya itu menyebabkan isterinya mengemas semua pakaian dan meminta dihantar pulang ke rumah ibu bapanya. - Agensi

600 keluarga Saudi terbiar

RIYADH: Persatuan Kebajikan Keluarga Saudi di luar negara (Awasir) melaporkan 598 keluarga Saudi ditinggalkan tanpa perlindungan di negara asing oleh ketua keluarga mereka.
Dalam kenyataan kepada media, Kaunselor Awasir, Ali Al-Hinaki berkata keadaan itu berlaku disebabkan ketua keluarga berkenaan sakit, meninggal dunia, dipenjarakan atau gagal menunaikan tanggungjawab menjaga keluarga mereka.

“Terdapat pasangan yang berkahwin di luar negara menghidap penyakit bahaya seperti Aids, hepatitis dan siflis,” kata Ali. Ali berkata terdapat juga kes membabitkan wanita asing yang berkahwin dengan warga Saudi bagi memperoleh kerakyatan Saudi tetapi tidak berhasrat mengekalkan perkahwinan mereka. “Apabila mereka mendapat kerakyatan Saudi, mereka bercerai dan kemudian mengahwini lelaki dari negara asal mereka.

Kebanyakan lelaki tua warga Saudi yang berkahwin di luar negara pula ditipu bakal isteri atau ejen mencari jodoh semata-mata kerana harta dimiliki mereka.

Menurut Ali, kajian menunjukkan lelaki Saudi sering terpedaya dengan mengahwini wanita yang sudah bersuami atau pelacur. “Lelaki Saudi perlu mengahwini perempuan dari negara mereka sendiri bagi menyelesaikan masalah wanita Saudi yang tidak berkahwin,” ujar Ali lagi. Bulan lalu Awasir mengumumkan cadangan bagi meningkatkan kesedaran lelaki Saudi mengenai kesan negatif jika mereka mengahwini wanita asing. - Agensi

07 July 2010

Tyson menangis di Raudhah

MADINAH: Bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson, kelihatan menangis ketika berada Raudah semalam dan menganggap dirinya bertuah kerana berada di satu daripada taman syurga.

Lawatan Tyson ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah ditemani Ketua Persatuan Dakwah Kanada, Shahzad Muhammad.

Kata Shahzad, Tyson menjadi begitu emosional ketika mengucapkan salam kepada Rasulullah (SAW) “Dia menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Nabi sambil mengangkat tangannya.

“Tyson terus berada di kawasan Raudah selama beberapa jam untuk bersolat, membaca al-Quran dan berzikir,” katanya, semalam.

Dia kemudian menukar pakaian untuk mengenakan ihram sebagai persediaan mengerjakan umrah.

Sementara itu, kedatangan Tyson menarik perhatian orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihatnya dari dekat.

Sesetengah pihak sanggup menunggu berjam-jam di hotel didiaminya berhampiran Masjid Nabawi semata-mata mahu mengambil gambarnya.

Malah, dia terpaksa diiring pengawal keselamatan untuk ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur kerana orang terlalu ramai berada di laluan berkenaan.

Tindakan Tyson mengenakan tutup kepala bagi mengelak daripada dikenali juga gagal dan dia terus diekori peminatnya.

Tyson berkata, dia memang gembira diterima baik orang ramai di Tanah Suci.

“Cuma, saya harap tidak diganggu dan biarkan saya menikmati pengalaman beribadah di sini,” katanya.

Larangan bawa makanan masuk ke Masjidil Haram

JEDDAH: Pengarah Hal Ehwal Masjidil Haram, Talal ibn Saleh Al-Thaqafi meminta jemaah supaya tidak membawa makanan, minuman dan bahan pakai buang ke dalam masjid bagi memelihara kesucian tempat ibadah berkenaan.

Beliau juga meminta jemaah memberi kerjasama kepada pengawal yang bertugas di pintu masuk dan mematuhi peraturan supaya masjid kekal bersih untuk keselesaan jemaah. “Jemaah hanya dibenarkan membawa masuk sejumlah kecil kurma dan kopi Arab ke dalam Masjidil Haram,” jelas Talal kepada Arab News, semalam.

Beliau memberitahu beg juga tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam masjid yang mempuinyai 176 pintu itu. Kerusi roda untuk orang kurang upaya dibenarkan.

Sebelum ini, Talal mengadakan beberapa mesyuarat dengan kakitangannya bagi membincangkan persediaan menghadapi jumlah jemaah umrah yang dijangka bertambah pada musim panas dan Ramadan ini. - Agensi

Search This Blog