'Berjuang' ke tanah suci

MENGHAIRANKAN. Mengapa perlu bersusah payah 'menyabung nyawa' menaiki motosikal ke Tanah Suci Mekah sedangkan kemajuan semasa menawarkan perkhidmatan yang lebih mudah, jimat, cepat dan selesa. Perjalanan menuju ke Baitullah itu yang mengambil masa kira-kira hanya lapan hingga sembilan jam menerusi laluan udara tidak digunakan sebaliknya memilih laluan darat yang berliku serta memakan masa hampir dua bulan perjalanan.

Panas terik, hujan lebat, laluan berdebu, cuaca sejuk melampau dan pelbagai cabaran di luar jangkaan perlu diharungi sepanjang perjalanan nekad ditempuh demi menyahut seruan Ilahi mengerjakan ibadat umrah berbanding daripada hanya duduk dan menanti waktu tiba.

Kos puluhan ribu ringgit perlu dikorbankan, pekerjaan dan keluarga juga ditinggalkan bagi mengikuti kembara ke tanah suci melalui darat dengan merentasi 12 buah negara.

Pastinya orang lebih memilih untuk mengunakan kemudahan sedia ada agar dapat menunaikan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu dengan selesa tanpa memikirkan sebarang masalah.

Namun ia berbeza dengan 19 peserta Kembara Bumi Suci (KBS) 2 ini. Segala cabaran dan halangan tersebut telah bersedia untuk dilalui dengan membawa semangat, tiada panggilan sebaik panggilan Ilahi.

"Boleh dikatakan hampir seluruh pelosok dunia saya telah pergi yang kebanyakannya menaiki kapal terbang dan kapal laut, mengapa tidak saya menyahut seruan Ilahi ke Tanah Suci Mekah dengan menaiki motosikal," kata seorang peserta kembara, Jaya Abdullah, 64.

Jaya juga merupakan Pengurus Tender adalah peserta tertua dalam misi kembara tersebut. Pun begitu, semangatnya masih kental dan tidak sesekali luntur walaupun umurnya sudah dikategorikan sebagai warga emas.

"Hanya sokongan rakan-rakan kembara serta berbekalkan amalan surah al-Fatihah menjadi dorongan dalam membantu menguatkan semangat saya bagi meneruskan seluruh perjalanan yang memakan masa lebih 60 hari itu.
"Saya juga yakin dengan mengikuti kembara ini pastinya memberi saya sebuah pengalaman baru yang tidak pernah saya lalui sepanjang perjalanan hidup saya," katanya.

Manakala bagi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, dugaan yang Allah SWT berikan kepadanya sehingga memaksanya mendapatkan rawatan kritikal selama hampir sembilan bulan membuatkan beliau berazam untuk melakukan sesuatu amal kebaikan apabila sembuh.

"Saya terpaksa mengambil cuti kira-kira sembilan bulan untuk menjalani rawatan pintasan jantung tersumbat pada tahun 2009. Saya rasakan diri ini sangat kerdil dan lemah sehingga tidak mampu membuat kerja berat pada masa itu.
"Lalu saya berazam dalam diri untuk melakukan sesuatu amal kebaikan sebagai tanda syukur kepada Allah SWT setelah sembuh nanti," katanya.

Takdir tuhan membuka hati Moheeb untuk menyertai kembara ke Tanah Suci Mekah apabila beliau terlihat rancangan rakaman KBS 1 di televisyen.

"Sebaik menonton rancangan itu, terdetik di hati saya untuk menyertai kembara tersebut, lalu saya terus menghubungi penganjur program yang saya kenali menerusi kelab motor berkuasa tinggi," katanya.

Walaupun telah lebih 12 kali mengerjakan umrah, namun Moheeb tetap tidak jemu dan bertekad untuk sentiasa mengunjungi rumah Allah itu sekerap mungkin.

"Saya memilih untuk mengikuti kembara menggunakan motosikal ini kerana minat menunggang motosikal sejak dulu lagi. Dan saya berharap, dengan menyertai program ini dapat mencapai matlamat saya untuk melihat kemegahan ciptaan Allah SWT sepanjang perjalanan.

"Program ini turut mengajar peserta untuk merasai kesukaran yang dilalui oleh para Rasul, sahabat dan ulama terdahulu untuk menyebarkan dakwah di serata dunia.

"Di samping itu, peserta juga dapat mengetahui dan mendalami budaya serta cara hidup masyarakat setempat di kawasan yang dilalui menerusi program kemasyarakatan yang diadakan bersama dengan mereka," katanya.

Berbeza pula bagi salah seorang daripada tiga peserta wanita yang mengikuti kembara kali ini. Terlintas di fikiran Baiyah Awang Mahmon untuk mengetahui dan merasai pengorbanan yang dilalui Nabi Muhamad SAW, para sahabat dan pendakwah pada zaman dahulu membuatkan hatinya terdetik untuk mengikuti kembara ini.

"Saya mengetahui kembara ini melalui Siaran Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), selepas itu saya terus menghubungi penganjur program.

"Menunaikan umrah menggunakan perjalanan darat tentunya memberikan satu pengalaman yang berbeza daripada menaiki pesawat. Bagaimana Nabi Muhamad SAW, para sahabat dan pendakwah di zaman dulu dapat mengembara beribu batu menggunakan unta dan kuda dalam cuaca panas, sejuk, debu padang pasir," katanya.

Kata Baiyah lagi, walaupun terpaksa bekerja keras sebelum mengikuti program itu, tetapi atas sokongan keluarga dan rakan pejabat membuatkan dia tetap bersemangat.

"Sememangnya saya perlu bekerja keras dalam tempoh yang singkat untuk menyusun dan menyelesaikan kerja-kerja dan membuat beberapa siri perbincangan sebelum menyerahkan tanggungjawab kepada rakan-rakan di pejabat.

"Saya bersyukur kerana Allah SWT memudahkan urusan kerja saya kerana rakan-rakan pejabat memberikan sokongan dan kerjasama dalam memikul tanggungjawab kerja penyelidikan yang perlu dijalankan semasa tempoh bercuti," katanya yang bertugas sebagai penyelidik Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) -Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah kaabah dan sekitarnya

HARI NAHAR DAN HARI QARR

TAFSIR IBNU KATHIR BERKAITAN AYAT DALIL SAIE