23 April 2012

TAMBANG NAIK HAJI 1433H KEKAL RM9,980

SEPANG 19 April - Kuota 28,000 jemaah haji dari Malaysia dan kadar bayaran RM9,980 bagi menunaikan fardu haji dikekalkan pada tahun ini walaupun kos penginapan di hotel-hotel berhampiran Masjidil Haram meningkat sebanyak 15 peratus. 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat dengan Menteri Haji dan Wakaf Arab dua hari lalu. ''Malaysia satu-satunya negara yang mendapat keistimewaan kuota 0.1 peratus daripada jumlah penduduk untuk menunaikan haji.


''Negara-negara lain diberikan kuota berdasarkan jumlah penduduknya yang beragama Islam,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Jamil Khir, pengekalan kuota haji itu memberi kelegaan kepada ramai jemaah haji di Malaysia yang diletakkan dalam senarai menunggu sehingga memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Kerajaan, katanya, memberi jaminan tiada sebarang kenaikan tambang mengerjakan ibadat haji, bagaimanapun individu yang ingin mengerjakan haji buat kali kedua pula akan dikenakan bayaran RM14,880 tanpa sebarang subsidi.

Dalam pada itu katanya, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima bagi tahun ini ialah pada 17 September, manakala penerbangan balik pula dijadual bermula awal November.

"Terdapat sedikit perubahan dari segi pengangkutan. Kita kini sedang membuka tender baru kepada syarikat-syarikat penerbangan bagi menguruskan 50 peratus perjalanan ke Mekah kerana kontrak bersama Malaysian Airline System Bhd. (MAS) sudah pun tamat.

''Manakala 50 peratus lagi perjalanan akan diuruskan oleh kerajaan Arab Saudi," katanya.
Sementara itu, katanya, Tabung Haji sentiasa mengutamakan warga emas berusia 70 tahun ke atas untuk menunaikan haji bagi setiap tahun.

Beliau berkata, langkah itu wajar supaya mereka berkesempatan menunaikan ibadah haji di mana buat masa ini tempoh menunggu untuk melaksanakan ibadah haji selepas pendaftaran dibuat di Tabung Haji adalah 36 tahun.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata, kerajaan akan mengusahakan supaya kuota haji dapat ditambah dari masa ke semasa untuk mempercepatkan tempoh untuk ke Tanah Suci Mekah

No comments:

Post a Comment

Search This Blog